Friday 25 November 2011



Hati Orang Mukmin

Orang mukmin itu hatinya sentiasa gelisah
Bukan gelisah kerana dunia
dan bagaimana nasib di dunia di masa tuanya
Resah dan gelisah dengan Tuhan dan hari Akhiratnya
Berbagai-bagai perasaanlah yang dia rasa,
hingga hatinya sibuk dengan Tuhannya
Susah dengan dosa sama ada yang sudah dilakukan
mahupun kalau terbuat di masa depannya
Apakah Tuhan sudah terima taubatnya,
hatinya berkata-kata sentiasa
Ibadahnya apakah Tuhan terima?!
Amal kebajikannya apakah ikhlas dia membuatnya,
kerana tipuan syaitan dan hati amat halus
Ikhlas di pangkal, rosak di dalam perjalanannya,
selamat di dalam perjalanan, rosak pula di hujungnya
Bagaimana nanti penutup hidupnya?
Atau penutup umurnya
Apakah husnul khatimah atau suul khatimah
Sedangkan menuju Akhirat gangguan terlalu banyaknya
Bukan sahaja gangguan luarnya
tapi gangguan batinnya lagilah amat halus
Kesalahan batin banyak yang tidak sedar berlaku
Aduh hatinya gundah-gulana sahaja selalu
Selalu sahaja berombak, macam air laut
sentiasa berkocak tidak henti-hentinya
Walaupun badan lahir sesama manusia,
makan sama, berjalan sama, berbual sama,
tapi lautan hatinya bergelombang tidak sama
Bergelombang kerana takut dengan Tuhannya,
kalau tidak gelombang besar, gelombang kecil pasti ada
Kalaulah gelombang hati orang mukmin itu
diperlihatkan kepada manusia bersamanya
Nescaya manusia tidak minat hendak bergaul bersamanya
Kerana orang yang bersamanya terganggu sama hatinya
Begitulah hati orang mukmin, walaupun bibirnya senyum
tapi hatinya muram sahaja

No comments:

Post a Comment