Friday 21 October 2011

~Mari Ubat Hati~

Bismillahirrahmanirrahim.

'Kaif halukum?'
'Kaif qolbukum?'

Apa khabar Hati antum sekarang ini? Berasa tenang dan bahagiakah?atau berasa gelisah,marah,benci? Sering kali apabila kita bertemu sahabat kita dengan ucapan'Kaif haluk?' .Namun jarang sekali menyapa dengan 'kaif qolbuk aw kaif ruhhuk?'. Begitulah keadaan Hati yang kini jarang diperkatakan. Seolah-olah semuanya sangat sibuk dengan hal masing-masing sehingga terlupa dengan perihal Hati ini.Padahal Hati lah tempat jatuhnya pandangan Allah.







Sahabatku yang dikasihi,
Sedang berlaku di hadapan mata kita kini bermacam-macam jenis penyakit putus asa, kecewa, resah .gelisah, penderitaan jiwa, kacau bilau fikiran, rasa rendah diri (inferiority complex), kesunyian, kekosongan hati, rasa keseorangan (loneliness), ketegangan perasaan dan berbagai-bagai lagi bentuk sakit jiwa. Dan sedang berleluasa
juga di dalam masyarakat Islam hari ini penyakit-penyakit hasad dengki, bakhil, gila dunia, pendendam, cepat marah, jahat sangka, sombong, riak, ujub dan lain-lain.


Walaupun sakitnya tidak nampak oleh mata kasar kita, namun siapa berani menafikan hakikat ini? Kita boleh nampak penyakit-penyakit ini semakin kronik disekeliling kita..Buktinya berapa banyak kes zina,rogol,bunuh,buang anak,rasuah dan macam-macam lagi yang sekarang ini sudah seakan menjadi kelaziman di Negara kita.Sungguh gerun bukan?.


Bilangan orang-orang yang menderita sakit atau krisis jiwa di saat ini lebih ramai daripada bilangan penderita-penderita sakit fizikal yang ada di hospital-hospital. Tetapi aneh, kepakaran dan keintelektualan tidak begitu serius difikirkan untuk pengubatan kepada pesakit batin ini, sepertimana seriusnya mereka berusaha terhadap pengubatan fizikal lahiriah manusia. Rasanya kelihatan para ulamak,ustaz-ustaz seakan buntu dan mendiamkan diri. Media lebih dimonopoli dengan sumber kejahatan berbanding kebaikan.

Sahabatku yang disayangi,
Apakah mereka tidak sedar bahawa pesakit jantung, buah pinggang, kencing manis, barah dan lain-lain itu tidak pernah bunuh diri dan membunuh orang lain? Tetapi pesakit-pesakit batin, pesakit jiwa, kekosongan, rendah diri, putus asa, hasad dengki, dendam, pemarah, buruk sangka dan lain-lain itu akan memungkinkan manusia membunuh diri sendiri atau membunuh orang lain? Demikian satu bukti bahawa penyakit-penyakit batin itu sebenarnya memerlukan perhatian dan rawatan yang lebih serius daripada rawatan kepada penyakit-penyakit lahir. Bukan sahaja kerana penyakit batin lebih menyeksakan individu pesakit, tetapi ia bakal memungkinkan kusut dan kucar-kacirnya sesebuah masyarakat.




Telah datang Nabi Muhammad SAW ke tengah manusia. Baginda melihat kekusutan dan kemungkaran yang sedang meracuni kehidupan masyarakatnya. Seorang diri baginda bangun dan bekerja untuk menyelamatkan manusia. Institusi pertama yang baginda bangunkan ialah masjid, satu tempat di mana manusia membersihkan hatinya, melembutkan hatinya, menenangkan hatinya, melapangkan dadanya, membebaskan diri dari ikatan dunianya, iaitu dengan membesarkan Tuhannya melalui sembahyang dan ibadah-ibadah lain. Rasulullah memandang keselamatan manusia ialah pada keselamatan hatinya (rohnya) bukan jasad lahirnya. Sebab itu baginda bekerja mengubah dan mengubat hati mereka dan baginda berjaya.



Sahabatku,
Kita kini sedang melihat kekusutan dalam masyarakat kita sama sebagaimana apa yang disaksikan oleh baginda Rasul lebih 1400 tahun dulu. Kalau baginda telah berjaya terhadap masyarakatnya, mengapa kita tidak mengikut jejak langkahnya? Kita ubati dulu mazmumah dan krisis jiwa kita, ahli keluarga kita dan masyarakat kita. Kita ketengahkan pada masyarakat pengertian hidup yang hakiki yang dapat mengembalikan manusia pada fitrahnya.
Kita contohkan satu formula yang menjamin kebahagiaan hati dan keselamatannya. Kita perjuangkan kehidupan "sunnah" yang semuanya membawa manusia kepada syurga dunia dan akhirat.

Sahabatku,
Mana ada selain Islam satu cara hidup yang dapat menjadikan kita terhibur dengan kemiskinan, kesunyian, kesakitan, keseorangan, kematian orang yang dikasihi, kegagalan dan dengan segala bentuk ujian. Mana ada selain Islam cara hidup yang mengikat hati antara guru dengan muridnya,pensyarah dengan pelajar,antara suami dengan isteri, anak dengan ibu bapa, pengikut dengan pemimpin, pekerja dengan majikan? Mana ada selain Islam cara hidup yang mengajar kita berkasih-sayang, bertolak-ansur, pemurah, berbaik sangka dan tolong menolong? Mana ada selain Islam cara hidup yang membangkitkan cinta agung manusia pada Penciptanya hingga kerana itu manusia mengorbankan hidupnya untuk Tuhannya dan menanti kematian sebagai penantian seorang kekasih kepada pertemuan dengan kekasihnya?


Sahabatku,
Islam mengajak kita menelek hati kita, mengenalinya dan mengubat sakitnya. Apabila hati sudah terubat, saudara akan temui hati-hati saudara penuh dengan "cahaya" kebahagiaan, ketenangan dan kelapangan. Dan itulah syurga sementara sebelum saudara bertemu Allah untuk menerima syurga yang kekal abadi.
Insya Allah. Mudah-mudahan kita akan perolehi keselamatan dan kebahagiaan hidup sebagaimana yang Allah janjikan.



Terjemahannya: Hati Qiamat iaitu hari (ketika manusia meninggalkan dunia ini) di mana harta dan anak tidak berguna lagi kecuali mereka yang mengadap Allah membawa hati yang selamat
(Asy Syuara': 8889)




~Rasa hati yang ingin dikongsi bersama dengan kalian dipostkan di blog ini.
Janganlah lihat pada diriku yang serba kekurangan tapi lihatlah isi2 yang ingin disampaikan~
Wallahu’allam.MZB.

No comments:

Post a Comment